Home Ads

Friday, February 3, 2017

Lagenda Pendekar

Oleh : Andika Wira Jiwa


Bab 6 - Budak di tengah gelanggang


Andika Wira Kara tidak menghiraukan hiruk pikuk disekelilingnya. Masa matahari tergelincir akan segera menjelang. Di saat itu dia punya agenda sendiri. Dalam masa yang singkat ini dia perlu mempersiapkan dirinya.

Dengan perlahan-lahan Andika Wira Kara berjalan menuju ke arah tengah gelanggang dan lantas duduk di situ. Dia duduk bersila dan meluruskan kedua belah tangannya menyilangi lutut. Matanya tidak berkelip-kelip sedikit pun. Dikawasan gelanggang itu kini hanya terlihat kelibatnya sahaja. Dia bersendirian.

Matahari kian memuncak merapati waktu yang ditetapkan bermulanya pusingan ketiga. Panas terik matahari menyebabkan hampir kesemua yang hadir bermandian peluh. Namun mereka tidak menghiraukan itu semua. Pusingan ketiga pasti lebih mendebarkan dan pasti mereka tidak boleh ketinggalan.

Orang ramai semakin memenuhi tempat duduk masing-masing semula. Mereka kehairanan melihat seorang budak duduk bersila di tengah-tengah gelanggang. Namun selagi gendang besar masih belum dipalu mereka peduli apa. Mungkin sekadar seorang budak kecil yang berangan-angan. Biarkan dia mengelamun melayani mimpi di siang hari. Malah terdapat beberapa mulut celupar sengaja mengejek dan menyindir Andika Wira Kara.

Tepat matahari tergelincir mengikut alat pengukur masa matahari yang terletak di kawasan berdekatan.

Pertandingan Juara Helang bermula semula !” terdengar teriakan suara garau membelah suasana hiruk dan bising. Seketika itu semuanya kembali senyap dan menumpukan perhatian untuk acara selanjutnya.

“Ehh kenapa budak itu masih termenung di situ. Acara akan dimulakan sekarang”, merungut Sang Juara Hitam. Dari beberapa sudut gelanggang ejekan dan sindiran terhadap Andika Wira Kara semakin kuat. Dia dianggap mengganggu sahaja.

Pong! Pong! Pong! Pong! Gendang besar dipalu semula setelah mendapat isyarat daripada pelantar khas.

Melihat budak di tengah gelanggang masih terpaku duduk bersila, Sang Juara Hitam segera melompat kehadapannya.

“Hey! Budak, nyah dari sini.” Herdik Sang Juara Hitam.

Perlahan-lahan Andika Wira Kara mengangkat kepalanya dan setelah matanya tepat bertentangan dengan mata Sang Juara Hitam dia bersuara perlahan, “Wahai tuan pendekar, izinkan aku meminta restu dari Guru Empoh Waniang Hitam dan Raja yang menguasai negeri ini.”

Bergetar hati Sang Juara Hitam. Budak setahun jagung ini bukan sahaja berani bertentang mata dengannya yang terkenal dengan kegerunan malah dapat bercakap dengan begitu bersopan dan tersusun rapi. Belum sempat dia menghilangkan rasa kehairanannya suara budak itu kedengaran lagi.

“Tuan pendekar negeri terbilang, aku punya satu hasrat dan izinkanlah aku menyuarakannya.”

Lantas Andika Wira Kara tunduk semula merebahkan kepala hampir menjejak bumi kearah pelantar khas.

“Ampunkan aku kerana kurang bersopan dan menganggu perjalanan pertandingan ini. Tetapi izinkanlah aku untuk turut serta di dalam sayembara peringkat pusingan ketiga.” Andika Wira Kara terus menuturkan hasratnya.

Kata-kata itu disambut dengan hilai tawa dari orang ramai di setiap sudut gelanggang. Di dalam hati mereka terbisik bahawa budak itu telah hilang akal atau sengaja menempah maut.

“Wahai budak, siapakah engkau dan apa hak kamu untuk menyertai Persilatan Helang Jingga ?” Suara itu berasal dari pelantar khas. Guru Empoh Waniang Hitam mengherdik keras sambil memberi isyarat kepada orang ramai supaya senyap. Hatinya juga diselubungi rasa kehairanan dan marah yang tidak terhingga.

“Aku dikenali sebagai Andika Wira Kara. Aku selalu berada dijauhan sana mempelajari ilmu tuan guru yang budiman. Aku percaya keupayaanku memperagakan Persilatan Helang Jingga adalah setaraf dengan perwira terhandal di perguruan ini. Izinkan aku menyertainya.” Desak Andika Wira Kara.

“Kurang ajar. Budak biadap!” Tiba-tiba terdengar satu suara dari satu sudut gelanggang. Dari tempat dua puluh enam perajurit-perajurit yang bersedia untuk memperagakan nasib di peringkat pusingan ketiga kejohanan.

Serentak dengan itu satu objek dibaling laju ke arah Andika Wira Kara dari arah sudut gelanggang itu. Berdesir angin menghasilkan bunyi bila objek itu menuju kencang ke arah Andika Wira Kara. Kepantasan sebegitu boleh menghasilkan momentum yang amat besar walaupun objek itu adalah kecil, dan boleh menyebabkan anjing dewasa tersungkur mati jika mengenainya.

Pantas. Tapi dengan kepantasan yang serupa Andika Wira Kara dapat menghidu bahaya yang mendatang. Lebih kurang sehasta jarak objek itu menuju kekepalanya dia pun menundukkan kepalanya semula. Objek itu melintas sipi kepalanya. Tidak ramai yang menyedari apa yang berlaku.

Guru Empoh Waniang Hitam tentu sedar apa yang berlaku. Raja Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Saktijuga dapat mengesan hal remeh sebegitu. Malah hatinya mula tertarik dengan kehadiran Andika Wira Kara yang sedang tertunduk di tengah-tengah gelanggang memohon restu. Malah orang ramai yang menjadi terpinga-pinga kini mula menumpukan perhatian ke arah pelantar khas menunggu jawapan.

Tiba-tiba Andika Wira Kara merasakan satu sambaran angin kencang menuju tepat kearah kepalanya. Sambaran angin itu terlalu pantas umpama kilat. Dia tidak sempat untuk mengelak.

Pang! Andika Wira Kara merasakan bagai satu sepakan hinggap di sebelah kanan telinganya. Serta merta dia merasa kelainan dengan pancaindera pendengarannya itu. Suasana sekelilingnya menjadi terlalu sunyi. Tiada langsung gelombang bunyi yang hadir. Kesunyian itu bukan kerana suasana sekeliling yang senyap, tetapi dia merasakan ketika itu dia telah menjadi pekak!

Belum sempat Andika Wira Kara berbuat apa-apa, tiba-tiba dia seolah-olah mendengar satu suara. Tetapi suara itu tidak kedengaran di telinga. Suara itu itu hanya hadir dibenaknya. “Wahai budak, sungguh celaka kau kerana berani menampilkan diri dalam gelanggang ini dengan permintaan yang melampau. Di mana kebesaran aku dan seluruh kerajaan Kota Warga Gangga ini hendak kau campakkan.” Gelombang otaknya menerima sergahan.

“Seluruh kerajaan dan persilatan ini akan menerima kehinaan jika menerima permohonan kau yang tidak berasas ini. Malah kehinaanya akan lebih besar jika aku menghukum kau. Kau harus beredar sekarang atau aku akan menghukum kau dengan memenggal kepala kau.” Andika Wira Kara terus diselubungi herdikan itu dalam kesunyian yang tersendiri.

“Walaubagaimanapun, aku akan merestui permintaan kau di lain masa. Berambus!”

Seketika itu Andika Wira Kara masih terpinga-pinga. Dia memahami apa yang terlintas dibenaknya. Amaran itu bukanlah satu khayalan sebaliknya dari seseorang di pelantar khas.

Sekali lagi Andika Wira Kara mendongak kearah pelantar khas dengan perlahan-lahan. Dia cuba mencari arah asal suara itu. Dia memberanikan dirinya untuk memandang tepat kearah sinaran renungan mata raja. Alis mata raja berkerut tetapi dibibirnya terdapat sebuah senyuman sinis. Setelah mata mereka bertenentangan, Raja Baginda Adi Putera Arjuna Perwira Sakti menanggukkan kepalanya.

“Berambus!” Sekali lagi benaknya diherdik. Walaupun tanpa gelombang bunyi secara zahirnya, teriakan kali ini membuatkan kepala sebelah kanan Andika Wira Kara bagaikan dilanda pukulan angin kencang semula. Gumpalan angin itu lebih kuat berbanding pukulan angin yang pertama tadi.

Serentak dengan itu Andika Wira Kara dapat mendengar kembali hiruk pikuk suasana gelanggang. Sang Juara Hitam yang tadinya berdiri dihadapan nya kini sudah tiada di situ lagi.

Andika Wira Kara tersenyum sendirian. Walaupun permintaannya tidak dipenuhi tetapi di dalam hatinya merasakan bahawa hasil dari kegagalan itu lebih bermakna daripada jika permintaannya dibenarkan. Hakikatnya dia telah berjaya menarik perhatian Raja Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti walaupun hanya seketika berada di tengah gelanggang.

Dengan lagak segak bergaya Andika Wira Kara bangkit untuk beredar. Dia sengaja berjalan melintasi sudut di mana dua puluh enam perajurit yang akan bertarung dipusingan seterusnya berada. Dia tahu tiada siapa pun yang tahu apa sebenarnya berlaku tadi. Kini langkahnya menjadi tumpuan dua puluh pasang mata perajurit-perajurit yang telah layak untuk melangkah kepusingan ketiga. Semua pandangan mata-mata itu memperlecehkan budak ini. Mungkin ada yang berbisik untuk membelasah budak ini jika diberi peluang. Mereka geram.

Sayembara diteruskan. Siapakah yang bakal memenangi pertandingan itu? Berapa ramaikah perajurit yang masih berdiri apabila pertandingan itu tamat kelak? Apakah yang bakal terjadi kepada Andika Wira Kara? Ikuti kisah selanjutnya…

Bab 5
Author Image

Andika Wira Jiwa
Setapak demi setapak mari kita hayati perjalanan hidup seorang pendekar muda yang ditakdirkan merajai seluruh dunia persilatan sepanjang zaman. Let's have fun.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas