Home Ads

Monday, February 6, 2017

Simfoni

Oleh : Iqram Akmal


Diari 3


Cikgu Rasyidi hanya tenang semasa semua pelajar di kelas Aqram Aqmal mula kecoh terhadap apa yang dia telah tulis di atas papan putih. Lelaki berusia lingkungan 40-an itu mengajar subjek Sains Sukan di kelas Aqram. Dia juga tahu akan ketibaan Jae Eun di kelas itu, tetapi dia tidak mengambil perkara itu secara serius.

Sementara itu, minda Aqram Aqmal menjadi kosong seperti sebuah bandar yang telah musnah akibat terkena akan bom yang mempunyai tenaga kuat dan boleh memusnahkan seluruh bandar itu. Hal ini demikian kerana, Jae Eun kini duduk disebelah kanan dia dan Chung Xiang, di mana dia langsung tidak jangka akan perkara tersebut! Malah, tangan kiri Jae Eun sedang berada di atas betis kanan Aqram, seakan-akan Jae Eun sengaja melakukan babak itu. Chung Xiang hanya menggeleng kepala melihat gelagat dua orang di hadapan dia itu.

"Seperti apa yang cikgu tulis di papan putih, kelas kita akan menjadi ahli yang bertugas semasa kejohanan balapan dan padang di sekolah kita berlangsung. Cikgu berharap tugas yang kita telah rancang dan bahagikan beberapa hari yang lalu dapat dilakukan dengan baik. Sebelum kita meneruskan kelas, ada apa-apa masalah mengenai kejohanan tu?" kata Cikgu Rasyidi sambil memutarkan pen menggunakan jari hantu dan jari telunjuknya beberapa kali.

Aqram Aqmal yang berjaya kembali ke dunia realiti setelah mindanya menjadi kosong kerana Jae Eun terus mengangkat tangan kiri dia. Cikgu Rasidi yang menyedari tindakan Aqram Aqmal terus bertanya akan masalah yang anak muridnya itu sedang fikirkan.

"Beberapa bulan yang lepas, saya dilantik sebagai ketua ahli jawatankuasa di atas padang untuk pelajar Sains Sukan dan jadi ketua di situ, tapi saya dapati bahagian peralatan itu ada satu lagi tempat kosong. Adakah saya patut letakkan Jae Eun sebagai pelajar baharu di bahagian itu?" Aqram Aqmal cuba tidak mempedulikan apa rakan sekelasnya pada waktu itu, di mana mereka menganggap Aqram mungkin meletakkan Jae Eun sebagai timbalan Ketua semasa kejohanan balapan dan padang itu berlangsung.

"Cikgu rasa tindakan awak tak seberapa sesuai, Aqram. Badan Jae Eun kurus dan ada kemungkinan tidak mampu angkat semua peralatan di dalam stor sekolah. Lagipun, dia juga mungkin akan pengsan sebab tak tahan akan cuaca panas di sekolah ni, memandangkan dia berasal dari negara yang sejuk." balas Cikgu Rasyidi.

"Jadi, apa yang perlu saya lakukan?" tanya Aqram Aqmal lagi.

"Cikgu akan fikirkan tentang tu. Memandangkan Jae Eun ialah pelajar pertukaran, cikgu akan bincang dengan pentadbir untuk libatkan dia sekali dalam pengurusan ni untuk beri dia pengalaman di negara ni. Baiklah, sila duduk ya Aqram. Cikgu akan mulakan kelas ni." ujar Cikgu Rasyidi sebelum dia membersihkan papan putih. Selepas itu, dia mula mengeluarkan pen di poket seluarnya.

Aqram Aqmal mengangguk kepalanya, lalu kembali duduk di atas kerusi. Waktu itu, Cikgu Rasyidi sedang mengajar mengenai sistem tenaga dalam badan manusia, walaupun benda itu sudah diajar semasa Tingkatan Empat. Sistem tenaga ini sentiasa digunakan oleh mana-mana atlet dalam sukan tertentu serta terbahagi kepada anaerobik alaktik, anaerobik laktik, dan aerobik. Sistem anaerobik laktik ialah sistem tenaga yang tidak memerlukan oksigen dalam menghasilkan tenaga dan tercetus dalam masa 0 hingga 10 saat.

Sistem tenaga anaerobik laktik pula berlaku selama 1 hingga 5 minit dan menghasilkan asid laktik yang berfungsi dalam menjadikan otot kejang kerana melakukan aktiviti dalam masa yang lama. Sistem tenaga aerobik dihasilkan lebih daripada 5 minit dan memerlukan oksigen kerana sistem tenaga ini mempunyai satu proses yang dikenali sebagai 'Kitaran Krebs' , di mana oksigen diperlukan dalam proses itu. Sukan yang menggunakan sistem tenaga anaerobik alaktik adalah lari 100 meter dan semua acara padang seperti lontar peluru dan merejam lembing. Anarobik laktik pula melibatkan acara balapan kecuali lari 3000 meter seperti lari 400 meter secara berganti-ganti dan sistem tenaga aerobik terlibat dalam sukan yang mengambil masa yang lama seperti larian marathon.

Jae Eun pada waktu itu tekun menulis ilmu yang disampaikan oleh Cikgu Rasyidi itu. Aqram Aqmal tidak terkata apa-apa semasa melihat gelagat Jae Eun yang terus berubah semasa menuntut ilmu itu. Lelaki itu tersenyum kerana pada masa yang sama, ada juga perangai Jae Eun yang boleh dicontohi.

Mungkin dia tahu serba sedikit mengenai Jae Eun semasa di laman sosial, tetapi dia tahu bahawa personaliti perempuan Korea Selatan itu akan lebih dia tahu semasa bertemu dengan dia di alam realiti.

"Aqram, awak dengar ke apa cikgu kata?"

Seperti cicak termakan kapur, Aqram Aqmal terus mengganguk kepala sambil ketawa dengan nada yang perlahan semasa mendengar pertanyaan daripada Cikgu Rasyidi. Selepas Cikgu Rasyidi menyambung semula akan aktivitinya, Aqram Aqmal kembali menumpukan perhatian terhadap apa yang diajar oleh cikgu Sains Sukan itu.

Dalam fikiran Aqram selepas itu, dia mula terfikir jenis tugas yang akan diberikan oleh Cikgu Rasyidi kepada Jae Eun sebelum kejohanan balapan dan padang disekolahnya bermula.

*****

Setelah tamatnya waktu persekolahan, angin pada pukul 12 tengah hari itu bertiup dengan perlahan dan boleh membuatkan sesiapa sahaja yang terkena angin itu berasa selesa untuk berehat untuk sementara waktu sebelum meneruskan aktiviti yang hendak dilakukan. Kelihatan banyak pelajar duduk di pondok menunggu bas sambil membuat kerja masing-masing.

Aqram Aqmal sedang berjalan kaki sendirian. Syafiz Qayyum biasanya akan turut berjalan kaki bersama dia memandangkan mereka berdua tinggal di rumah yang sama, tetapi kali ni Aqram terpaksa jalan sendiri kerana Syafiz Qayyum terpaksa menghadiri kelas lanjutan di sekolah. Jae Eun pula menerima tawaran daripada Cikgu Boon Peng yang hendak menghantar dia pulang.

“Penatnya hari ni.." ujar Aqram Aqmal, sambil meneguk sebotol air mineral yang dia telah beli. Cecair tanpa rasa yang memasuki trakea dia sebelum tiba di perut membuatkan Aqram menghembuskan nafas lega kerana dapat minum air yang sejuk pada waktu yang panas. Waktu itu juga, Chung Xiang dan seorang perempuan bernama Fauziah Samad mula kelihatan.

Kemudian, Chung memegang bahu kiri Aqram sambil menunjukkan senyuman.

"Mana gadis Korea Selatan yang kata awak ni 'tunang' dia?" soal Chung Xiang sambil ketawa terbahak-bahak. Aqram Aqmal mengangkat bahu, sebelum dia berkata kepada Chung Xiang bahawa Jae Eun kemungkinan sedang pulang dengan menaiki kereta Cikgu Boon Peng. Walaupun Aqram sudah lama kenal akan Jae Eun, dia langsung tidak tahu lokasi Jae Eun berada sepanjang lima bulan dia berada di Malaysia.

“Untunglah awak, Aqram. Seorang pelajar dari luar negara yang masuk ke sekolah kita dah kenal awak dari awal lagi. Cemburu pula saya mendengarnya.” kata Fauziah pula. Aqram Aqmal hanya menggaru kepala dia yang tidak gatal dengan pipinya yang kemerahan. Reaksinya itu sudah kali ketiga ditunjukkan kepada orang lain, lebih-lebih lagi semasa Jae Eun muncul kali pertama.

Pada lelaki itu, dia menarik nafas lega kerana tiada jeritan daripada Jae Eun yang dia perlu dengar hingga boleh buat gegendang telinga dia ‘pecah’. Walau bagaimanapun, sangkaan dia itu akan meleset apabila dia terdengar jeritan seseorang di belakang dia, Chung Xiang, dan Fauziah Samad.

“AQRAMMM! TUNGGU SAYA!” Aqram Aqmal terus berkerut semasa mendengar jeritan itu. Chung Xiang dan Fauziah Samad terus memandang ke arah jeritan itu berada. Kelihatan Jae Eun sedang berlari sepantas yang boleh, ibarat seorang atlet terkenal yang bernama Usain Bolt!

Aqram yang sedar akan jeritan dari Jae Eun itu terus bertanya akan soalan kepada perempuan itu.

“Jae Eun? Saya ingat awak ikut cikgu Boon!” ujar Aqram Aqmal dengan wajah yang terperanjat.

Jae Eun hanya tersenyum, sebelum dia membalas kata-kata lelaki itu.

“Saya ubah fikiran tadi. Dah, awak akan ikut saya pulang mulai hari ni!”

Jae Eun terus memegang tangan kiri Aqram Aqmal dan cuba membawa dia jauh daripada Chung Xiang dan Fauziah Samad, sementara Aqram Aqmal meronta-ronta hendak melepaskan diri seperti orang yang baru sahaja ditangkap oleh pihak polis kerana melakukan satu kesalahan jenayah!

“T-tak nak! Chung dan Fauziah, tolong saya!” Chung Xiang dan Fauziah Samad hanya melihat sahaja sambil ketawa terbahak-bahak melihat gelagat dia dan Jae Eun. Mereka berdua semakin jauh semasa Jae Eun menarik tangan kiri dia untuk membawa dia bersama ke ‘rumah’ Jae Eun. Lebih teruk lagi, Chung dan Fauziah siap melambai kepada Aqram, membuatkan Aqram hanya ‘pasrah’ sahaja.

Selepas Aqram Aqmal dan Jae Eun hilang dari pandangan, Fauziah Samad mengeluarkan kata-kata di mulutnya.

“Saya memang ‘ship’ mereka berdua. Nampak comel!” ujar Fauziah, sambil menjerit seperti melihat artis yang kacak di hadapan mata. Chung Xiang hanya mengangguk kepala, sebelum mereka berdua meneruskan perjalanan ke kedai runcit yang terletak jauh dari kawasan sekolah.

Sementara itu, Aqram Aqmal tertanya-tanya akan lokasi rumah Jae Eun? Di manakah lokasi rumah itu? Dia hanya mampu tunggu dan lihat sahaja.

Diari 2
Author Image

Iqram Akmal
Saya berharap agar pembaca dapat membaca karya saya dengan tenang dan mengambil apa-apa nilai murni yang saya tanamkan dalam karya.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas