Home Ads

Saturday, January 21, 2017

Lagenda Pendekar

Oleh : Andika Wira Jiwa


Bab 3 - Raja yang berkuasa


Penonton kelihatan terpegun melihat jaguh negeri mereka memperagakan ilmu persilatan Peringkat Pertama Ilmu Persilatan Helang Jingga. Masing-masing terpesona. Nampaknya permainan permulaan ini sekadar untuk menghibur hati mereka. Namun begitu terdapat sebahagian daripada mereka tidak merasa terhibur sebaliknya merasa ngeri dan ketakutan.

Pong! Pong! Pong! Gendang dipalu lagi.

Ke empat-empat perajurit tersebut lantas berhenti dan terus tunduk ke arah pelantar khas sebelum bangun meninggalkan gelanggang. Keadaan yang tadinya riuh kini bising semula dengan penonton memuji-muji kehebatan jurus perajurit.

Perajurit Sang Juara Hitam muncul semula dihadapan gelanggang. Dengan pergerakan beberapa isyarat tangan, dia memanggil semua perajurit-perajurit baru yang akan menempa sejarah diri masing-masing untuk memasuki gelanggang tersebut.

Seketika itu perajurit-perajurit tersebut berlari-lari anak mengambil tempat masing-masing duduk bersila menghadap ke arah pelantara khas. Ke semua perajurit lelaki tidak memakai baju. Hanya berseluar panjang berwarna hitam dengan talipinggang berwarna merah tua. Perajurit perempuan pula memakai baju dan seluar serba hitam dengan talipinggang berwarna merah tua juga. Rambut mereka kesemuanya dipotong pendek sehingga menampakan leher jinjang masing-masing.

Pong! Pong! Pong! Sekali lagi gendang dipalu. Sunyi sepi. Ke semua perajurit lelaki dan perempuan masih duduk bersila menantikan arahan selanjutnya.

Guru Empoh Waniang Hitam kelihatan bangun dari tempat duduknya dibawah pelantar khas raja. Lagaknya hebat apabila dia melangkah menuju satu sudut gelanggang.

“Anak-anak murid ku.” Guru Empoh Waniang Hitam memulakan ucapannya. Tiada suara lain yang kedengaran.

“Kini sekali lagi Pertandingan Juara Gangga akan diadakan. Berjuanglah dengan penuh semangat. Perjuangan sekecil ini adalah permulaan ke arah perjuangan yang lebih besar untuk tanah air mu.” Wajah tegas dengan suara kuat dan tajam Guru Empoh Waniang Hitam meneruskan katanya. Lantas mukanya ditoleh ke arah Raja Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti.

“Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!” Guru Empoh Waning Hitam bertempik sambil genggaman jarinya diangkat ke arah langit. Serentak dengan itu bergemuruh suara ke semua perajurit dan penonton berteriak dengan kata-kata yang sama.

Raja Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti


Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Raja Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti tersenyum megah melihat ketulusan dan semangat rakyatnya. Dia berdiri dan melangkah turun dengan perlahan-lahan menuju ke arah Guru Empoh Waniang Hitam. Wajahnya sentiasa memandang ke arah seluruh rakyatnya. Tangannya dilambai-lambaikan. Sebahagian daripada rakyatnya menyambut lambaian itu dengan lambaian kembali. Namun lebih banyak yang duduk membisu seribu bahasa. Mungkin mereka merasa begitu janggal berhadapan dengan raja yang mereka puja itu.

Guru tua itu lantas tunduk dengan penuh hormat lalu beredar kesamping.

“Wahai rakyat ku. Kalian semua adalah tunggak kerajaan Kota Warga Gangga. Kerajaan ini akan segera tumbang jika rakyat Warga Gangga tidak mempertahankanya. Negeri ini adalah hak kita dan hak ini akan terus kita perjuangkan hingga ke titis darah terakhir.” Raja dengan penuh semangat memulakan kata.

“Bawa pengkhianat-pengkhianat Negeri Kota Warga Gangga kemari” arahan ringkas dari raja.

Seketika itu lima lelaki dengan tangan diikat rapi kebelakang pinggang mereka diheret ke satu sudut gelanggang. Kepala mereka botak tanpa sehelai rambut pun. Terdapat kesan-kesan luka yang agak dalam diseluruh badan lelaki-lelaki itu. Sebahagian daripada luka itu telah mula membusuk dan bernanah sehingga mengeluarkan bau yang hanyir dan menjijikan. Setelah berada disudut yang ditetapkan mereka dipijak-pijak oleh lima perajurit supaya tunduk ke arah raja.

“Bangsat ini adalah anggota Lanun Beradik Lapan Lautan. Tiada keampunan bagi manusia yang cuba mengkhianati Kota Warga Gangga ini.” Sebaik sahaja Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti habis berbicara, dia menjerit kuat dan mendepangkan ke dua-dua belah tangannya.

Genggaman jejari sepuluhnya perlahan-lahan dibuka dan satu keanehan mula tampak. Dari celah-celah jejari itu timbul asap nipis dan kemudian terbentuk satu bulatan cahaya dikedua-dua tapak tangannya. Apabila tapak tangan itu dirapatkan ke dua-dua cahaya yang berwarna merah menyala itu bercantum. Dengan sepantas kilat Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti melemparkan bola cahaya itu ke arah ke lima-lima lanun tawanan disudut gelanggang.

Bagai panahan petir yang terkawal, bola cahaya merah itu berpecah menjadi lima bola cahaya yang lebih kecil lantas menjunam terus ke dada ke lima-lima anggota lanun itu.

“Arrghhh ! “ Hanya itu yang dapat dijeritkan. Seketika itu dada ke lima-lima lanun itu terbeliak dan memuntahkan darah merah pekat. Mereka tersungkur serentak menyembah bumi. Lalu menghembuskan nafas terakhir.Diwajah mereka tergambar kesakitan yang amat sangat. Namun mungkin juga mereka turut berterima kasih kerana hukuman itu telah menamatkan penderitaan yang terpaksa mereka tanggung selama ini.

“Beginilah balasan mereka yang menderhakai Kota Warga Gangga.”

Seluruh jiwa rakyatnya bergetar melihat peristiwa itu. Namun tiada wajah simpati sedikit pun dikalangan mereka. Mereka akur dengan hukuman itu.

“Guru Empoh, teruskan temasya Pertandingan Juara Gangga”. Lantas Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti berjalan semula ke pelantar khas. Tetapi kali ini langkahnya menjadi lebih perlahan seperti meniti udara dan dia terus duduk memandang ke arah ke semua rakyatnya yang masih terlopong .

Agak berlainan permulaan temasya kali ini. Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti tentunya mempunyai niatnya yang tersendiri. Rakyatnya perlu diberi keyakinan bahawa dunia mereka waktu itu memerlukan kekuatan untuk terus hidup. Rakyatnya perlu diberi keyakinan dengan pemerintahan dan kekuasaanya. Selaku raja mereka, dia berhak memberi hukum. Sebagai rakyat mereka harus juga punya kekuatan untuk saling memperkukuh kerajaannya dengan menerima sahaja ketetapan yang dia buat. Dia memperlihatkan kuasa mutlaknya dinegeri itu.

Pendekar Sang Mahat Helang


Andika Wira Kara melihat semua kejadian ditengah gelanggang dengan bersahaja. Senyuman terukir dibibirnya. Dia seolah-olah memahami maksud tersirat dihati raja. Malah pandanganya pada Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti terus tajam. Pandangan itu adalah satu renungan tanpa sebarang rasa penghormatan. Tentu Andika Wira Kara juga mempunyai hasrat dan naluri tersendiri. Budak ini memang penuh dengan misterinya sejak dia berada di daerah ini.

Suasana riuh rendah kembali. Seketika itu rakyat Kota Warga Gangga telah melupakan peristiwa hukuman itu.

Pong! Pong! Pong! Sekali lagi gendang besar dipalu. Acara pertandingan akan disambung semula.

Perajurit-perajurit yang tadinya duduk ditengah-tengah gelanggang kini dibahagi kepada dua bahagian. Separuh disebelah kanan dan separuh lagi disebelah kiri gelanggang.

Pong! Setelah satu pukulan gendang, kelihatan 20 perajurit berlari ke tengah gelanggang dan bersiap sedia dengan kuda-kuda mereka. Peraturan pertandingan ini amat mudah. Dua puluh perajurit akan bertanding sesama meraka dengan satu lawan satu. Mereka yang kalah akan terkeluar dari pertandingan itu. Setelah selasai ke semua perajurit itu bertanding diperingkat pertama, perajurit yang menang akan maju keperingkat seterusnya sehinggalah hanya lima puluh perajurit sahaja yang tinggal.

Lima puluh perajurit itu akan bertarung dengan menggunakan senjata. Mereka berhak memilih sebarang jenis senjata yang mereka gemari mengikut kepandaian dan kemahiran mereka. Pada peringkat ini hanya setelah pihak lawan telah tercedera hingga tidak dapat bangun kembali maka mereka akan dikira menang. Walaubagaimanapun mereka dilarang sama sekali menyebabkan kematian.

Kumpulan pertama dua puluh perajurit telah bersedia mengadu nasib. Pada umumnya mereka adalah setaraf dari segi kemahiran persilatan. Cuma kegigihan dan kekuatan fizikal badan masing-masing mungkin memberi kelebihan sebahagian daripada mereka. Penghayatan jurus-jurus juga memainkan peranan yang penting untuk menentukan kemenangan.

Bab 2
Author Image

Andika Wira Jiwa
Setapak demi setapak mari kita hayati perjalanan hidup seorang pendekar muda yang ditakdirkan merajai seluruh dunia persilatan sepanjang zaman. Let's have fun.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas